Tuesday, October 21, 2014

RUMPAI BERBAHAYA : RUMPAI MIANG MEXICO


Rumpai Miang Mexico atau nama sainstifiknya Parthenium hysterophorus dari famili Asteraceae merupakan sejenis rumpai liar yang berasal dari negara Mexico, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Rumpai ini juga dikenali sebagai Carrot Weed. 

Rumpai ini boleh tumbuh di pelbagai jenis dan keadaan tanah termasuklah tanah kurang subur. Ia kelihatan seperti ulam raja dan panjang daun 30cm dengan bilangan daun yang boleh mencapai 55 helai.

Bunga Rumpai Miang Mexico

Bunga rumpai ini berwarna putih susu (krim) dengan ukuran diameter 4-6mm, pada batang rumpai ini terdapat bulu-bulu halus (trikomes) dan bercabang. Biji benih rumpai ini berwarna perang kehitaman berbentuk seperti baji dan boleh mencapai 100,000 biji benih perpokok dalam satu kitaran hidup lengkap iaitu 3-4 bulan.


Rumpai ini merebak melalui angin, air yang mengalir, makanan haiwan ternakan, haiwan ternakan yang diimport, pergerakan haiwan ternakan, manusia dan pergerakan jentera, serta alatan pertanian. 

Rumpai ini dikatakan sebagai rumpai yang berbahaya kerana memberi kesan kepada ekosistem semulajadi, menyebabkan alahan kepada manusia dan haiwan yang boleh membawa kepada kematian.


Kehadiran rumpai ini mula dikesan pada bulan September 2014 oleh Jabatan Pertanian Malaysia di kawasan Ulu Yam Baru, Selangor dan selepas itu bancian telah dijalankan dengan sistematik dan didapati negeri Perak, Kedah dan Negeri Sembilan juga mempunyai rumpai ini. 

Ancaman bahaya dari rumpai ini telah dilabelkan sebagai rumpai paling teruk abad ini kerana mengurangkan hasil pertanian serta ternakan bagi sesebuah negara dan seterusnya mengalami kerugian besar disamping menimbulkan masalah kesihatan yang kronik pada manusia.


Akta rumpai telah memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pemilik tanah yang membiarkan rumpai ini tumbuh ditanah mereka tanpa usaha menghapuskannya. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memastikan rumpai ini terhapus dari negara kita supaya hasil pertanian dan ternakan serta keselamatan manusia terjamin. 

Pada pamplet dibawah ini terdapat cara kawalan bagi rumpai ini yang boleh dijadikan rujukan umum dalam menghapuskan rumpai berbahaya ini.



Sebarang info atau aduan bolehlah terus menghubungi Pejabat Pertanian berhampiran atau Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian Kuala Lumpur di talian 03-2030 1400 atau layari Facebook Biosekuriti Tumbuhan.

P/S : Jika rumpai ini dikesan dikawasan daerah Gombak atau Petaling pihak berkenaan boleh terus menghubungi kami di talian 03-61896905 atau PM kami di Facebook Pejabat Pertanian Daerah Gombak/Petaling


"BERSAMA KITA HAPUSKAN RUMPAI INI DEMI 
KEPENTINGAN INDUSTRI PERTANIAN NEGARA"



Small Cute Green Pointer
 
copyright © 2014 to Pejabat Pertanian Gombak / Petaling | design by Pejabat Pertanian Gombak / Petaling